Monday, October 17, 2016

Dukun dakwa ambil wang dari bank dijaga jin



Pekanbaru: Polis di sini menahan seorang dukun, Ki Purbo Lalang Jati, atas tuduhan menipu orang ramai selepas dia mendakwa dapat menggandakan wang mangsa dengan mengambil wang di ‘bank ghaib yang dijaga jin.’

Ketua Polis Pekanbaru, Toni Hermawan berkata, dalam modus operandinya, lelaki berusia 35 tahun itu akan meminta sejumlah wang daripada mangsa, kononnya untuk dijadikan umpan, sebelum dia boleh mengambil wang dari bank ghaib itu.

“Dia akan melakukan pelbagai ritual pelik untuk mengelabui mangsa. Mangsa pula akan dikehendaki menyediakan wang berkenaan beberapa kali. Tetapi wang yang dikatanya akan diambil dari bank ghaib itu tidak ada,” kata Toni.


Menurutnya, pihaknya menangkap Ki Purbo selepas menerima aduan daripada 10 mangsa, termasuk seorang penuntut yang berkata, dia ditipu sebanyak Rp63 juta (RM20,000).

Selain itu, menurut Toni, lelaki itu juga dikatakan menjual ‘toyol’ dengan harga Rp5 juta (RM1,600) setiap satu. - Agensi