Wednesday, December 24, 2014

Lelaki ditemui dengan kesan tembakan di mulut

IPOH - Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan luka akibat tembakan dalam mulut di sebuah bilik hotel empat bintang di Jalan Sultan Abdul Jalil, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang tadi, mangsa yang berusia 69 tahun ditemui dalam keadaan terduduk di atas kerusi dengan sepucuk pistol automatik di bahagian pahanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa yang beralamat di Taman Intan, Pasir Puteh, di sini, mendaftar masuk ke hotel tersebut pada semalam.

"Mangsa sepatutnya mendaftar keluar dari hotel berkenaan pada jam 12 tengah hari tadi namun tidak berbuat demikian.

"Kakitangan hotel yang melakukan pemeriksaan di bilik di tingkat sembilan hotel itu menemui mayat mangsa dalam keadaan berdarah di bahagian mulut," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini sebentar tadi.

Chang Keong berkata, mangsa dipercayai mati dalam tempoh kurang dari 24 jam dan kali terakhir dia dilihat pekerja hotel ialah pada pukul 2 petang semalam.

"Kita telah ke rumah mangsa dan mendapati tiada sesiapa di kediaman terbabit.

"Hanya ada sebuah kereta dan sebuah motosikal sahaja di rumah terbabit malah mangsa ke hotel ini dengan menaiki sebuah teksi, " katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang kesan kecederaan lain ditemui pada tubuh badan mangsa.

"Setakat ini kita belum memastikan sama ada mangsa dibunuh atau bunuh diri.

"Kita perlu melakukan bedah siasat pada esok dahulu bagi mengetahui punca sebenar kejadian," katanya.


Sumber: KOSMO!

No comments:

Post a Comment