Thursday, November 14, 2013

Restoran nasi ganja di Ipoh diarah tutup dua minggu

Sebuah restoran yang popular dengan makanan nasi kandar atau lebih dikenali sebagai 'nasi ganja' di Jalan Yang Kalsom di sini, diarah tutup selama dua minggu berikutan gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.

Notis perintah tutup premis yang dikeluarkan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Kinta Abdul Rahman Ismail itu berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 28 November.

Operasi bersepadu bermula 5 petang itu melibatkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri dan Jabatan Imigresen.

Menurut Jurucakap Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, persekitaran penyediaan makanan yang tidak bersih boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan orang awam.

Katanya notis itu dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, jika disabitkan kesalahan boleh didenda atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Nordiyanah Hassan ketika dihubungi mengesahkan arahan tutup premis itu dan operasi dijalankan atas arahan Kementerian Kesihatan.

Sumber :  Bernama

1 comment:

  1. mencari yang HALAL itu WAJIB.. memang patut dari dulu lg dicheck. Sumber bahan makanan pun memang x menyakinkan sejak dari dulu lg. Fikir sendiri je kenapa harga dia murah dari kedai Melayu..

    ReplyDelete